Saturday, December 15, 2007

Perjuangan

Memang benar perjuangan apa pun pasti berdepan dengan tantangan, cabaran atau kegetiran. Selalunya hanya mereka yang terpilih saja mampu mengharungi segala kesakitan dalam perjuangan itu. Kalau Mao terpaksa mengorban ribuan maoisme dalam exodus bersejarah itu, Khomeini bersedih atas kematian tanpa alamat ratusan ribu revolusioner Islam Iran, Che Gubara menyaksikan ratusan leftisme roboh di hujung senapang kolonial.
Itulah perjuangan namanya. Warisan bumi manusia zaman berzaman.
Termasuk para ambiya', manusia terbaik pilihan tuhan, pun terpaksa menjalani kesakitan ini, kerana inilah satu-satunya jalan perjuangan.
Apabila Zainab alGhazali dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, oleh sebuah pemerintahan umat Islam atas tuduhan yang dibuat-buat ( terlibat merancang pembunuhan Naseer ), serikandi ini mengungkapkan dalam 'detik-detik hidupku', "matlamat kami lebih besar dari itu, yakni urusan tauhid di atas muka bumi ini, menegakkan alqur'an dan sunnah rasul. Sesungguhnya ini adalah urusan pemerintahan Allah. Tidak ada pemerintahan melainkan pemerintahan Allah."
"Pembunuhan Jamal Naseer adalah perkara kecil dan orang Islam tidak perlu melakukannya. Perkara yang lebih besar ialah soal Islam. Negara Islam belum berdiri, jadi kami bekerja untuk mendirikan kerajaan Islam"
Ini adalah warisan perjuangan dari ambiya' untuk ummah Islam dari seluruh zaman. Dan pasti kegetiran yang berupa ujian itu akan menyusul datang bagai gelombang demi gelombang.
Ada sebahagian dari kita telah menjalani denai penuh kerikil ini dengan tabah dan tulus.
Percayalah, syurga Allah itu mahal harganya.

Friday, November 23, 2007

Revolusi Tuhan

"Dalam setiap pergerakan rakyat dan revolusi tuhan, para ulamak adalah orang pertama yang dahinya berlumuran darah dan pertama meraih gelar syuhada".
Demikian Imam Khomeini pernah mengungkapkan, semasa mengobarkan perjuangan revolusi rakyat Iran menentang pemerintahan rejim Shah Pahlavi. Kekuatan Shah, sebagai kekuatan sebuah kerajaan yang memiliki segala-galanya, akhirnya ranap di ujung tapak kaki para mullah dan rakyat yang bersatu dalam satu gelombang kebangkitan yang bernama revolusi tuhan. Revolusi ini mengorbankan banyak syuhada, banyak melahirkan janda dan anak yatim.
Itulah perjuangan. Setiap perjuangan dambakan pengorbanan. Dan nilai pengorbanan inilah yang menentukan kedudukan dan nilai syurga yang akan diraih oleh pejuang-pejuang. Tuhan pasti tidak akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang samada berhasil atau tidak sesuatu perjuangan itu. Yang Pasti, tuhan akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang-pejuang bagaimana anda berdepan dengan perjuangan ini.

Wednesday, November 14, 2007

Ulamak Penjilat

Sayyid Muhammad Kazhim Syariat Madari, seorang ulamak syiah penjilat dan menyokong kerajaan Rejim Shah Pahlavi mengatakan " seluruh rakyat dikehendaki bertenang dan menjauhi demonstrasi jalanan, kerana roh yang suci tidak secocok untuk berdepan dengan peluru ". Beliau berkata demikian semasa berdepan dengan revolusi Islam, yang dipimpin oleh Imam Khomeini. Malah beliau dalam satu kenyataan yang lain mengatakan " jangan mencela atau berprasangka burok kepada paduka Raja Shah yang mulia ". Petikan buku Imam Khomeini oleh Ayatullah Ahmad Khomeini ( anak lelakinya ).
Membaca teks ini, sangat berbaloi untuk mengenal liku-liku perjuangan Islam yang terpaksa berdepan dengan peluru dan mortar muntahan dari ulamak keji yang cinta dunia, munafik, berpura suci, penjilat penguasa tirani dan tega menentang perjuangan Islam, perjuangan qur,ani.

Monday, November 12, 2007

Laskar Kuning

Terlalu lama tidak melihat padi menguning. Sebagai anak desa, yang tumbuh dari hamparan saujana kuning-kuningan dari persisir laman rumah bunda sampai mencecah kaki bukit yang melatari desa kami.
Semuanya menjadi momen indah yang paling dirindui.
Lautan kuning-kuningan mengusik rinduku.
Kuning menakluk Masjid Jamik, menakluk Masjid Negara, mengalir ke Istana dengan nafiri gagah berani yang mencari keadilan.
Biar langit menangis, biar dihadang dengan kerikil tajam, mereka adalah manusia berjuang.
Mereka pahlawan gagah berani, yang hanya takut kepada penguasa langit dan bumi.
Tapi ingat "Yang menjaga keadilan ialah sultan atau kekuasaan. Itulah sebabnya Islam tidak memisahkan negara dan ugama. Islam mewajibkan menegak negara Islam untuk menjaga keadilan" ( hamka dalam tafsir azhar ).

Sunday, October 28, 2007

Machiavelli

Machiavelli.
Nama besar yang tersohor. Rasanya tiada mereka yang dihinggap cita politik yang tidak mengenal nama besar ini. Max Lerner menganggap manusia ini sebagai Bapa Kekuasaan Politik.
Tapi sayang, Hannah Arendt dan Plamenatz menganggap manusia bernama Machiavelli ini adalah pengecut dan penjilat tirani terbesar iaitu Lorenzo de Medisi , melalui buku The Prince.
Penjilat ini pernah mengatakan Jangan takut menjadi penguasa yang tidak disayangi, asal jangan dibenci rakyat.
Penguasa mesti bijak menggunakan sifat manusia dan sifat binatang dalam menghadapi rakyat.
Manusia seperti ini semakin

Sunday, October 21, 2007

Pahlawan Tanpa Nama

Muhammad Hatta dalam suatu teksnya, mengungkapkan " Pergerakan kita tidak boleh semata-mata pergerakan pemimpin, yang hidup mati bergantung kepada pemimpin. Akan tetapi pergerakan kita harus menjadi pergerakan pahlawan yang tidak punya nama. Artinya pergerakan rakyat-rakyat itu sendiri. pergerakan rakyat yang tidak bergantung kepada pemimpin. ".

Friday, October 12, 2007

Imam Hanafi

Hakim kita dan iktibar dari Imam Hanafi
Pada 130/747 Hijrah Yazid bin Umar bin Hubairah seorang garvenor Umayyah di Iraq,telah menawarkan jawatan kadi kepada Imam Hanafi, dengan tujuan untuk meraih pengaroh dari Imam Hanafi dan pengikutnya. Garvenor ini telah menawarkan " Di sini aku memberi mohor ku pada mu. Tiada undang-undang berkuatkuasa tanpa pengesahan dari mu. Tiada wang ( peruntukan ) akan keluar tanpa izin mu ". Begitu besar kekuasaan yang ditawar kepada Imam Hanafi.
Tapi Imam Hanafi menolak, lalu beliau dipenjarakan.
Ini telah menimbulkan kekecuhan di kalangan rakyat di wilayah Iraq ini. Lalu sebilangan ulamak yang berkhidmat dengan gavernor datang menemui Imam Hanafi. Mereka menasihati Imam dengan berkata " Jawatan yang kami pegang ini sebenarnya jijik bagi kami, seperti yang anda anggap itu juga. Tapi kami menerimanya secara terpaksa. sepatutnya anda juga harus menerimanya dan bersikap seperti kami ".
Tapi Sang Imam menjawab " Seandainya Khalifah meminta aku mengira berapa banyak pintu gerbang Masjid Wasit sekali pun, aku tidak akan lakukan. Jadi bagaimana aku boleh bersetuju menerima jawatan ini, apabila dia mengarahkan aku menjatuhkan hukuman mati kepada orang yang tak bersalah, dan aku pulak mengesahkan hukuman itu. Demi Allah aku tidak akan menerima apa-apa bahagian dari tanggungjawab ini."
Akhirnya Khalifah mendengar kontroversi ini, lalu beliau mendesak Imam Hanafi menerima jawatan kadi bagi wilayah Kufah, dengan ugutan atau ancaman penjara dan sebat.
Sang Imam dengan gagah berani dan tegas berkata " aku lebih mudah menahan kesakitan sebat di atas dunia ini berbanding sebatan di akhirat nanti ".
Imam Hanafi telah dijatuhi hukuman sebatan sepuloh kali sehari selama sebelas hari.
Sang Imam adalah kadi atau hakim yang takut dengan Allah S.W.T.

Sunday, October 07, 2007

Snouch Masih Ada

Snouch Hurgronje
Banyak telah diperkatakan tentang peranan Snouch.
Perhatikan sebahagian apa yang pernah dilakukan snouch dalam gerakannya untuk menghadang pergerakan Islam di Acheh, bumi tanah rencung.
Beliau telah membawa seorang ulamak dari tanah Arab yang bernama Habib Abdul Rahman yang diberi wewenang untuk berceramah dan mengimarah masjid di Aceh,dengan fikiran-fikiran Islam versi penjajah bagi menghadapi perjuangan Islam ummah Acheh.
Seorang ulamak tempatan dianugerah kebesaran Ratu Belanda dan kemudahan fasiliti, kerana belot kepada perjuangan Aceh dan juga pernah belot kepada belanda. Jenis lompat-lompat. Ulamak yang suka menukar wajah ini bernama Teuku Omar johan Pahlawan.
Malah Snouch dengan ambisi tinggi telah menasihati belanda agar jangan menekan Islam secara terang-terangan, tapi perlu memutuskan hubungan ummah Aceh dari dunia Islam belahan dunia lain. Jelasnya lagi, apa yang ditakuti ialah Islam politik, bukan Islam syariah.
Strategi Snouch masih diketemuikah lagi hari ini?.

Thursday, September 27, 2007

Firaunisme

Fir'aun
Sheikh Muhammad alghazali pernah mengungkapkan "Fir'aun memang suatu penyakit jiwa yang menghinggapi semua penguasa yang suka bertindak sewenang-wenangnya. Malah si Fir'aun ini akan berulang-ulang mengistiharkan kepada rakyatnya bahawa " aku tidak mengemukakan kepada kalian selain yang ku pandang terbaik untuk kalian dan aku tidak menunjuk kepada kalian selain jalan yang benar dan betul untuk kalian " ( QS 40:29 ) .
M.Natsir dalam buku Percakapan antara generasi menyebut dalam kitab Qishashul anbiya penulisnya mengatakan fir'aun itu menjadi Fir'aun yang menganggap dirinya tuhan, yang memiliki semua kekuasaan, bukan semata-mata kesalahan fir'aun saja, tapi juga kesalahan rakyatnya yang tidak berani mengatakan tidak kepada fir'aun.
Fir'aun di mana-mana.
Rakyat yang tidak berani mengatakan tidak di mana-mana.

Thursday, September 20, 2007

Ramadhan Berbisa

Ramadan hanya pakej budaya?.
Ramadan datang lagi, disambut oleh warga muslim dan bukan muslim sebagai acara festival tahunan dengan pelbagai acara dan agenda. Acara pesta makanan dan minuman yang amat meriah dimana-mana, baik dipasar malam atau hotel. Pesta jualan murah yang amat meriah d gedung-gedung kapitalis, walau sebenarnya tidak murah. Pesta kapitalis besar dan kecil ( penjaja ) bersikap tamak dan loba, dengan menaikkan harga barang. Orang politik mengumpan rakyat marhain dengan sogokan murahan. Semuanya kerana ramadan.
Warga muslim kemasjid untuk bertarawikh, dengan hasrat untuk merangkul pahala dan rahmat , tapi imam dan makmun berlumba-lumba seperti dikejar hantu ditengah-tengah kebisingan kanak-kanak tanpa kawalan. Apakah mungkin tarawikh ini boleh menjadi medium tuhan untuk menawarkan rahmat dan keampunan buat ummah ini.
Ramadan sudah berulangkali datang dan pergi. Tapi ummah islam masih tiada perubahan. Ummah islam masih bejat moral, masih hina dan dihina, masih keliru memilih pimpinan yang ramadan sifatnya, masih gagal dididik dalam sekolah ramadan yang setiap tahun diturunkan dari langit ini.
Kerana, ramadan disambut sebagai budaya yang diwarisi turun temurun. Menjadi ritual agama semata-mata. Ramadan tidak dirindui dengan cucuran airmata. Ramadan tidak disambut dengan sifat hamba Allah kepada Khaliknya.
Sampai bila?.

Tuesday, September 11, 2007

Pengkhianat Tuhan

'Setiap negara selalunya didasari oleh kekerasan'. Demikian kata trotsky.
Rusuhan entah kali keberapa berlaku di tanah bertuah ini, adalah manifestasi dari sebuah pertembungan diantara penguasa dan rakyat yang dikuasai dengan cara yang amat ganas. Tidak pasti apakah Trotsky telah menjadi panutan seseorang untuk menguasai segalanya. Atau Machiavelli yang mengatakan penguasa mesti bijak untuk menggunakan sifat manusia dan sifat binatang dalam menghadapi lawan.
Apa mungkin rakyat yang tertindas telah menganut marxisma yang mengungkapkan bahawa perundingan adalah urusan orang-orang yang pengecut.
Merenungi kata-kata Syeikh Muhammad al Ghazali "Pengkhianat tanah air dan bangsa terus dihukum, dicerca dan didakwa. Apalah ada pada tanah air itu, hanyalah sekeping tanah. Apalah ada pada sebuah bangsa itu, hanyalah sekelompok manusia. Bagaimanakah orang yang berkhianat kepada Allah , tuhan yang menguasai tanah dan bangsa ini."
Tidak mampukah kita sebagai manusia

Sunday, September 02, 2007

Jalut dan Padang Tih

Dirgahayu Malaysiaku
Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke lima puloh, merupakan titik peralihan yang amat baik dan tepat bagi perubahan peradaban ummah ini. Justeru tempoh lima puloh tahun adalah jeda masa dimana sesuatu generasi itu berlalu dan diganti oleh generasi baru yang terdidik dengan acuan dan proses yang berbeda dengan generasi lama. Sepatutnya pada titik peralihan ini, berlaku transformasi besar-besaran, perubahan minda dan budaya kepada sesuatu generasi baru bangsa itu.
Hamka dalam Tafsir Azharnya mencatit bahawa kegagalan pengikut Musa a.s untuk menawan Palestin setelah mengharungi lautan yang terbelah kerana generasi tersebut sememangnya tidak mempunyai jiwa pejuang yang kental dan jati diri yang kuat, kerana terlalu lama hidup dibawah asuhan penjajahan firaun. jiwa dan minda mereka terjajah separah-parahnya. Mereka lebih dambakan sayur dan bawang di Mesir daripada tanah yang dijanjikan.
Akhirnya tuhan terpaksa merendam mereka di lembah tih selama empat hingga lima puloh tahun, dengan tujuan untuk menanti kelahiran generasi baru yang terdidik ditangan nabi dan terlatih dengan makanan manna dan salwa.
Dan generasi islam yang baru, yang bebas dari igauan dan didikan penjajahan telah bangkit dengan darah perjuangan dan akhirnya berjaya menakluk tanah yang dijanjikan dibawah komando seorang pemuda bernama jalut.
Malaysia, sudah lima puloh tahun merdeka dari penjajahan. apakah sudah bangkit seorang pemuda bernama Jalut.

Saturday, August 25, 2007

Ali Benhaj dan Parlimen

Beberapa detik lagi kita akan berdepan dengan pilihanraya besar yang akan menentukan halatuju dan keinginan rakyat Malaysia dalam memilih kepimpinan negara. Sekali lagi pertarungan pasti berlaku, samada secara kekerasan, tipu helah atau hormat menghormati. Semuanya dalam merebut kerusi parlimen dan kerusi dewan undangan negeri, yang akan memberi kuasa dan menguasai sesiapa saja yang bernaung dibumi Malaysia ini. Mengingati pidato Ali Benhaj pada suatu masa dulu "Saya ingin tegaskan pada anda semua, saudara-saudara ku, bahawa kita tidak perlukan parlimen, kalau tujuan parlimen itu hanya semata-mata untuk membungkam agama Allah. Apakah kelak tuhan akan menghakimi kita pada hari kiamat atas keberhasilan menduduki parlimen atau gagal sama sekali. Bagi kita parlimen adalah saranan bukan tujuan. Tujuan kita adalah menegakkan hukum tuhan ". Selamat berjuang untuk pejuang

Monday, August 13, 2007

Kekerasan Politik

Kekerasan demi kekerasan
Saban hari dunia digetarkan dengan kekerasan. samada kekerasan oleh manusia untuk mencapai segala tujuan atau kekerasan oleh tindakan alam semulajadi untuk mengembangkan dirinya. Apakah benar kekerasan adalah sesuatu yang tidak diingini, sesuatu yang jelek perlu dielakkan.
Justeru kekerasan selalu dan sering diperlukan untuk mencapai objektif. Malah dalam mencapai tuntutan agama pun, kita terkadang memerlukan kekerasan. Bukankah hukuman, peraturan dan denda itu sebahagian dari kekerasan yang amat memeritkan.
Max Weber menyebutnya, penguasaan manusia keatas manusia lain didasari oleh saranan yang sah, yakni kekerasan.
Apatah lagi mencapai tujuan-tujuan politik. Manusia berwenang dan punya kapasiti untuk bertindak dalam pelbagai bentuk kekerasan, demi mencapai matlamat politik.
C.Wright Mill mengatakan semua politik pada hakikatnya adalah pertarungan kekuasaan dan hal yang paling pokok dari kekuasaan adalah kekerasan.
Trotsky, setiap negara selalu didasari oleh kekerasan.
Mao Tze Tung, kekuasaan itu berada di ujung senapang.
Ted Hunderich, lebih menggemaskan bahawa kekerasan juga mampu hadir dalam sistem demokratis.

Sunday, July 22, 2007

Murtad

Murtad
Isu besar yang menarik seluruh perhatian ummah Islam ialah permurtadan. individu yang murtad memperoleh kejian dan cemohan. Malah diproses dengan peruntukan undang-undang. Begitulah ummah Islam bangkit dan menangani persoalan besar ini. semuanya bangkit dengan penuh kemarahan.
Tapi pernahkah ummah ini bangkit dengan penuh kemarahan kepada individu, organisasi, kelompok, institusi yang bergerak dengan missi untuk memurtadkan ummah Islam ini. Undang-undang tidak pernah menyentuh mereka-mereka ini. Hatta ulamak pun membisu untuk menghala kepada punca dan muara permurtadan ini. Kalau Nabi boleh membakar masjid dirar yang dianggap institusi yang berniat jahat dengan penyusunan untuk menghancurkan Islam, apakah ummat islam tidak boleh menghukum mana-mana institusi, individu atau organisasi yang bergerak secara tersusun dan senyap-senyap untuk menghancurkan Islam ini.
BANGKITLAH WAHAI UMMAH.

Monday, July 16, 2007

Masjid Merah Di Roboh

masjid merah
Setelah lama terhalang memasuki blog ini, rindu amat mencengkam dan sengsara terasa. Justeru apabila blog dapat dimasuki, membuatkan jiwa melonjak ingin meluah rasa.
Menyaksi masjid merah dibumiratakan oleh sebuah kerajaan yang mendakwa Islam, membuktikan bahawa Islam amat hina dan dina. Malang dan terbuang. Barat tidak perlu menurunkan hujanan peluru untuk membunuh ummah Islam, cukup dengan sepotong roti yang disuap ke mulut munafik, pasti si munafik itu akan tega membunuh dan menghancurkan hatta seluruh ummah Islam di atas muka bumi ini, dengan pelbagai alasan yang amat bijaksana. Tragis yang pongah ini berlaku dimana-mana. Berlaku di Indonesia, berlaku di Asia Barat, berlaku di Eropah timur. Pasti akan berlaku di pojok mana di dunia ini.
Ironisnya, kita belum pernah menyaksikan kerajaan yahudi, Buddha, Kristian atau hindu meroboh atau meranapkan tempat suci mereka atau tempat ibadat mereka. Gereja, kuil, sinogog, rumah berhala, tokong dan biara tenteram dan aman dibawah kerajaan mereka dan kerajaan Islam. Tapi sayang, masjid dan surau belum tentu aman sejahtera di bawah kerajaan Islam, apa tah lagi dibawah kerajaan kufar.
Pakistan membuktikannya.

Wednesday, April 25, 2007

Chiang Kai Sek

Chiang Kai Sek, pemimpin koumintang tanah besar China pernah mengungkapkan dalam satu ceramah beliau, bahawa mentornya Dr.Sun Yat Sen pernah berkata " mana mungkin langit yang maha tinggi dan maha besar itu bisa ditampung oleh sebatang tiang. Kita memerlukan banyak tiang untuk menegakkan langit besar yang kita junjung ini ". Pesan keramat ini bisa dipakai dalam mana-mana perjuangan, terutama perjuangan membangun bangsa dan ugama ini. Perjuangan yang maha berat ini amat memerlukan ramai tenaga besar dan utuh untuk menjadi tiang buat mendukungnya. Hassan Al Bana dalam risalah taalimnya juga pernah menghimbau para ikhwan untuk menjadi batubata yang sempurna dibakar di dalam sistem yang betul untuk disusun dalam suatu bangunan yang kukuh dan mantap. Semuanya memerlukan proses dan persediaan yang amat rapi, strategik dan mampan.

Sunday, April 08, 2007

Ibn Khaldun

Pembangunan sesuatu bangsa seperti juga tumbesaran seseorang manusia. Pasti mengalami perkembangan proses demi proses atau tahap demi tahap. Selalunya bermula dengan kebangkitan yang amat sukses, kemudiannya menjadi lemah dan akhirnya runtuh.

Ibn Khaldun membahagikan perkembangan sesuatu tamadun itu kepada :

1. Kelahiran tamadun yang dibangkitkan oleh faktur asobiyyah yang amat tinggi dan rakyat memperjuangkan dengan penuh perjuangan dan lahirlah sebuah tamadun yang besar dan utuh.

2. Kehidupan bertamadun memberi kekuasaan dan kemakmuran kepada pemerintah. Pemerintah akan menjadi selesa tidak kreatif, hilang semangat juang, lemah dan korup. Sementara rakyat menjadi leka, hedonisma, bermewah-mewah dan semangat nasionalisma menjadi lemah dan hilang.

3. Keruntuhan tamadun terus berlaku apabila kelas pemerintah dan bargouis menjadi semakin lemah, terlalu korup dan pemerintah menjadi tirani dengan memaksa rakyat dengan pelbagai peraturan tirani untuk mengatasi kelemahan diri sendiri. Pemerintah hidup dalam kemewahan dan rakyat menjadi rosak dan binasa.

Akhirnya tamadun itu pun runtuh.

Toynbee bersependapat dengan Khaldun, bahawa agama dan moral mampu mengekang kejatuhan sesuatu tamadun.

apakah bangsa kita masih memperjuangkan sesuatu yang asing dari kekuatan dalaman bangsa ini sendiri dalam perjuangan bangsa dan ugama ini.

Wednesday, March 21, 2007

Islam dan Perjuangan

Setiap perjuangan memerlukan persiapan yang besar. Perjuangan dalam bentuk apa pun mendambakan persiapan besar-besaran itu. Kadang-kadang banyak perkara dikorbankan demi mencapai tujuan. Pemimpin yang besar justeru wajar melihat perjuangan dengan mata elang yang bebas dari permukaan bumi, menerawang di angkasa. Mampu melihat dan membaca bukit, lautan, daratan dan angkasa. Pemimpin begini kelihatan gagah, gah dan wibawa. Malah kelihatan bijak dan tangkas. Namun ia berehat dan tidur di ranting pohon atau di celah batu di bukit-bukit hamparan bumi. Ummah membutuhkan pemimpin persis elang yang bersahabat dengan langit dan bumi.

apatah perjuangan islam yang maha besar ini. Ann Wan Seng pernah menyebut dalam suatu forum di TV, bahawa Islam adalah agama perjuangan. Sesiapa yang memeluk islam, bererti ia memasuki sebuah perjuangan. Dan setiap perjuangan meminta korban. Kemanisan dan kehebatan islam hanya dapat dirasakan dan dinimmati oleh orang yang berjuang.

Dan kenapa kita mesti menanggalkan baju perjuangan ini, hanya kerana takutkan kekalahan. Tengku Abdul Jalil dari Acheh adalah suri teladan perjuangan ini.

Sunday, March 04, 2007

Tengku Abdul Jalil dan Perang Acheh

Dalam Perang Aceh, Bumi Tanah Rencong menentang Jepun, Tengku Abdul Jalil bersama seratus muridnya bersuluk di sebuah pondok di kampung Bayeu. Mengikut kepercayaan orang Aceh dulu kala, apabila seseorang tengku atau kerabat raja memasuki tarikat atau beramal dengan bersuluk, bererti suatu agenda besar sedang diatur dan disusun, selalunya demi untuk agama, bangsa dan tanahair nya.
Tengku Abdul Jalil sedang menggerakkan rakyat Aceh untuk bangun menentang Jepun. Lalu Tengku Hassan dan rombongan beberapa ulamak mendatangi Tengku Abdul Jalil bagi memujuk beliau supaya membatalkan niatnya itu dan menganggap usaha itu amat sia-sia.
" Kalau Tengku tidak menyerah, kampung Bayeu dan pondok Tengku ini akan dibakar Jepun"
"Saya akan melawan "
"Perlawanan kamu nanti adalah perlawanan sia-sia "
"Melawan bukan sia-sia. Menyerah lah yang sia-sia. Menyerah belum tentu syahid. Tetapi melawan sudah tentu syahid".
Demikian dituturkan Hamka dalam buku kenang-kenangannya.
Tengku Abdul Jalil adalah simbol perjuangan dalam bentuk apa pun. Menyerah adalah sebuah kekalahan. Berjuang adalah sebuah kemenangan. Pasti menang di sisi Allah, meski kalah di sisi manusia.

Wednesday, February 28, 2007

Pahlawan Tidak Bernama

Muhd hatta pernah mengingatkan pejuang-pejuang di bumi Indonesia " bahawa pergerakan kita tidak boleh semata-mata pergerakan pemimpin, yang hidup mati bergantung kepada pemimpin. Akan tetapi pergerakan kita harus menjadi pergerakan pahlawan yang tidak punya nama, artinya pergerakan rakyat sendiri. pergerakan rakyat yang tidak bergantung kepada pemimpin ".

Amanat ini wajar menjadi perhatian pahlawan bangsa tanah air kini yang sedang menghadapi tahap-tahap perjuangan yang sering berubah dan anjal medan tempurnya.

Monday, February 05, 2007

Hamka dan Soekarno

`Kenang-kenangan Hidup` dari Hamka mencoretkan khazanah perjuangan bangsa yang terlalu baik untuk direnungi sebagai teladan perjuangan.

Sebahagian di sini sambungan dialog Hamka dengan Soerkarno, pemimpin besar ummah nusantara.

Hamka menggetuskan " Tapi tiada tanda-tanda Jepun akan memberikan kemerdekaan kepada kita. Jepun hanya banyak meminta, tapi tidak pernah memberi. "

Soerkarno " Kita berkorban lagi dan terus kita berkorban lagi".

"Tapi rakyat tidak tahan lagi menderita berat ". Hamka .

"Kita tidak boleh berputus asa. Di dunia ini banyak soal-soal besar cepat berubah di luar perkiraan kita. Kita tidak boleh berputus asa. Pemimpin tidak boleh berputus asa."

"Tapi lihatlah kehormatan bangsa kita telah dipermainkan. Perempuan -perempuan kita dirosakkan. Gadis-gadis banyak menjadi korban. "

Soerkarno dengan tegas " Pemimpin mesti berjiwa besar. Pemimpin tidak boleh melihat kerugian semata-mata kerana demi untuk mencapai keuntungan yang lebih besar. Untuk merubah nasibnya, bangsa kita mesti menempuh kesengsaraan terlebih dahulu. Akan hancur dan remuk mana yang tidak tahan. Sejarah akan menjaring dan meninggalkan mana yang kuat. Itulah yang tinggal untuk meneruskan cita-cita ".

Soekarno

Soerkarno menyatakan sokongannya pada Jepun dalam perang dunia di rapat-rapat umum. Ini telah menimbulkan keresahan rakyat yang sememangnya anti jepun. Hamka telah mendatangi Soerkarno untuk mendapat penjelasan sebenar tentang sikapnya itu.
Soerkarno menjelaskan " dalam menghadapi suatu haluan, kita tidak boleh ragu. seorang pemimpin harus berpandangan jauh. Saya tidak pandai berkata-kata, kalau bukan datang dari hati saya.. Kalau saya membantu Jepun bukanlah semata-mata untuk jepun, tapi untuk rakyat yang saya cintai. Dengan adanya peperangan, rakyat mesti pandai menyesuaikan diri dengan suasana berperang. Rakyat mesti bersemangat perang. Kalau tidak, rakyat akan sengsara dan hancur jiwanya. Hal seperti ini dapat membangkitkan suatu bangsa sehingga naik, tapi juga bisa meruntuhkan. saya sudah siap mengambil sikap memihak kepada jepun".
Lalu Hamka bertanya " bagaimana kalau Jepun kalah?".
Soerkarno menjawab " Meski pun Jepun kalah, namun jiwa dan semangat rakyat bukan semangat yang dulu lagi. Yang kita tuju ialah kemerdekaan. Kalau Jepun menang, mau tidak mau Jepun pasti mengakui kemerdekaan suatu bangsa yang telah kukuh semangatnya. Dan kalau Jepun kalah, pihak belanda atau sekutu yang datang kemari, mereka tidak lagi dapat membelenggu semangat rakyat yang telah sedar. Menyedarkan semangat ini lah menjadi kewajiban saya sekarang ini. "
Hamka mencelah " Kalau Jepun kalah, anda empat serangkai akan ditangkap dan dihukum mati "
Soerkarno " Hal seperti itu tidak boleh menjadikan kecutnya hati seorang pemimpin. Pemimpin harus bertanggungjawab dan berani menempuh pengorbanan untuk kepentingan bangsanya."
" Kalau jepun menang, kami akan terus memimpin bangsa Indonesia untuk mencapai kemerdekaan. Kalau Jepun kalah dan kami menjadi korban, masih banyak lagi pemimpin lain yang akan tampil untuk mengganti kami. dan tentunya bong ( Hamka) sendiri yang akan tampil kemuka mengganti kami dan mencapai kemerdekaan Indonesia mengikut zaman kamu."
Demikian sebahagian dari catatan Hamka dalam buku `Kenang-kenangan Hidup` yang sempat dicoretkan di sini.

Monday, January 22, 2007

Clash Of Civilization

Pertembungan Islam dan barat hari ini banyak diperkatakan oleh sarjana bermuarakan apa yang pernah ditanggap oleh sarjana-sarjana barat dini hari lagi sebelum ini. Diantara futurustik barat yang paling dinisbahkan ialah Samuel Huntington . Di bawah ini akan diperturunkan beberapa pandangan beliau dalam beberapa teks terbaik yang pernah digarapnya.
"the gulf war was not the world against Iraq, but really the west against Islam"
" the next world war, if there is one, will be a war between civilizations"
"The west must meet this challenge, by promoting greater cooperation and unity within its own civilizations and by limiting the expansion of the military strength of confucian and islamic state".
Tapi pandangan ini dibantah oleh Foud Ajami " the actors in international politics are state, not civilizations" dan "civilizations do not control states, states control civilizations".
Pastinya barat tidak akan hilang akal untuk membumiratakan ummah islam di pojok mana pun di muka bumi ini.

Tuesday, January 02, 2007

Ideologi Soekarno

Diantara ungkapan Soekarno yang sempat dipetik dari teks tersebut, mampu mengangkat semangat juang kita:

"Berjuanglah tanpa mengira untung rugi bagi mu".

"Revolusi adalah perubahan sampai ke akar umbinya, baik dalam politik atau ugama"

"Saya naik ke langit, mikraj dalam pemikiran" ( merentasi pemikiran tokoh dunia dalam pelbagai ugama ).

"Imperialisma ibarat naga, kepalanya tertancap di negeri terjajah, ekornya di negeri induk mereka".

"Saya tidak membenci belanda ( barat ) tetapi membenci kolonialnya"

"Jangan sekali-kali kamu meninggal sejarah"