Friday, November 23, 2007

Revolusi Tuhan

"Dalam setiap pergerakan rakyat dan revolusi tuhan, para ulamak adalah orang pertama yang dahinya berlumuran darah dan pertama meraih gelar syuhada".
Demikian Imam Khomeini pernah mengungkapkan, semasa mengobarkan perjuangan revolusi rakyat Iran menentang pemerintahan rejim Shah Pahlavi. Kekuatan Shah, sebagai kekuatan sebuah kerajaan yang memiliki segala-galanya, akhirnya ranap di ujung tapak kaki para mullah dan rakyat yang bersatu dalam satu gelombang kebangkitan yang bernama revolusi tuhan. Revolusi ini mengorbankan banyak syuhada, banyak melahirkan janda dan anak yatim.
Itulah perjuangan. Setiap perjuangan dambakan pengorbanan. Dan nilai pengorbanan inilah yang menentukan kedudukan dan nilai syurga yang akan diraih oleh pejuang-pejuang. Tuhan pasti tidak akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang samada berhasil atau tidak sesuatu perjuangan itu. Yang Pasti, tuhan akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang-pejuang bagaimana anda berdepan dengan perjuangan ini.

Wednesday, November 14, 2007

Ulamak Penjilat

Sayyid Muhammad Kazhim Syariat Madari, seorang ulamak syiah penjilat dan menyokong kerajaan Rejim Shah Pahlavi mengatakan " seluruh rakyat dikehendaki bertenang dan menjauhi demonstrasi jalanan, kerana roh yang suci tidak secocok untuk berdepan dengan peluru ". Beliau berkata demikian semasa berdepan dengan revolusi Islam, yang dipimpin oleh Imam Khomeini. Malah beliau dalam satu kenyataan yang lain mengatakan " jangan mencela atau berprasangka burok kepada paduka Raja Shah yang mulia ". Petikan buku Imam Khomeini oleh Ayatullah Ahmad Khomeini ( anak lelakinya ).
Membaca teks ini, sangat berbaloi untuk mengenal liku-liku perjuangan Islam yang terpaksa berdepan dengan peluru dan mortar muntahan dari ulamak keji yang cinta dunia, munafik, berpura suci, penjilat penguasa tirani dan tega menentang perjuangan Islam, perjuangan qur,ani.

Monday, November 12, 2007

Laskar Kuning

Terlalu lama tidak melihat padi menguning. Sebagai anak desa, yang tumbuh dari hamparan saujana kuning-kuningan dari persisir laman rumah bunda sampai mencecah kaki bukit yang melatari desa kami.
Semuanya menjadi momen indah yang paling dirindui.
Lautan kuning-kuningan mengusik rinduku.
Kuning menakluk Masjid Jamik, menakluk Masjid Negara, mengalir ke Istana dengan nafiri gagah berani yang mencari keadilan.
Biar langit menangis, biar dihadang dengan kerikil tajam, mereka adalah manusia berjuang.
Mereka pahlawan gagah berani, yang hanya takut kepada penguasa langit dan bumi.
Tapi ingat "Yang menjaga keadilan ialah sultan atau kekuasaan. Itulah sebabnya Islam tidak memisahkan negara dan ugama. Islam mewajibkan menegak negara Islam untuk menjaga keadilan" ( hamka dalam tafsir azhar ).