Thursday, December 31, 2009

Penat

Kadang-kadang kita memerlukan satu tempoh masa untuk melihat ke dalam atau mengintari sekeliling, apakah langkah kita benar-benar pada `shiraathalmustaqim'. Justeru kehidupan ini sangat berwarna-warna, hingga kita lupa bahawa kita berada di sebuah perhentian yang sangat sebentar, nanti akan dijemput pulang ke titik yang akhir, yaumulaakhirah.
Tapi kehidupan ini hanya menawarkan jeda masa yang sangat singkat dan kecil untuk diisi dengan seluruh ambisi dan keperluan sebagai manusia. Bagaimana caranya untuk menyusun keduniaan yang nilainya tiada seberat sayap sang nyamuk, di celah-celah pengabdian makhluk kepada khaliknya. Tuhan, Rabb yang meguasai langit dan bumi dan apa yang ada di antara langit dan bumi.
Sesungguhnya tiada daya dan tiada upaya yang kita ada. Semuanya di tangan mu Ya Allah.
Aku kepenatan di sini, di dunia ini. Tuhan ku!.

Friday, September 11, 2009

Ramadhan

Ramadhan kini dipenghujung. Sebentar lagi bulan yang mulia ini akan pergi meninggalkan kita, dan sekelian manusia akan terlantar dikerumuni sang iblis dengan lahapnya, setelah mereka terbelenggu sepanjang Ramadhan ini. Kecuali mereka yang berjaya diproses dan dibakar dengan tarbiyyah ruhiyyah dalam kawah ramadhan ini.

Pasca Ramadhan tahun ini, Sang Iblis sekali lagi dengan penuh tipudaya akan mempergunakan potensi-potensi kebinatangan, keserigalaan dan kesyaitanan dalam nafsu setiap manusia untuk menjatuhkan manusia ke maqam kebintangan atau syaitan. Natijahnya bersama masuk neraka bersama sang iblis.

Mari kita berdoa, berikrar kepada tuhan agar ruh kita diperkuatkan Allah dengan sifat ketuhanan yang disemat dalam setiap manusia untuk menyelamatkan kita. Ada yang menggelarnya fitrah, ada yang menggelarnya god spot!.

apa pun, pohonlah kekuatan dari Allah dan agar bisa bertemu ramadhan lagi di tahun depan.

Monday, August 03, 2009

Sebuah Akta

Dikabari kepedihan dan kesakitan disimbah pacutan air atau ledakan bom asap pemedih mata sangat mendebarkan. Tapi merasai sendiri kepedihan gas berasap itu, sangat sengsara.

1 Ogos, menyaksikan puluhan ribu ummah bangkit dan bersatu melawan satu akta yang telah menzalimi ribuan manusia Malaysia, sebuah akta waris penjajah yang berwenang untuk mengurung dan menyiksa pejuang kemerdekaan, dan kemudiannya menjadi senjata ampuh mana-mana tirani untuk membungkam pahlawan rakyat yang berani.

Ada yang dizalimi, ada yang dinafi haknya, ada yang sengsara akibat akta brutal ini.

Anihnya, di kalangan mantan mangsa akta ini, secara terang-terangan mendakwa kebaikan kepada sebuah kezaliman. Lantas manusia memang seorang manusia. Lalu Allah kirim nabinya untuk membimbing kelompok manusia, kerana manusia lebih bersedia untuk hidup di bawah kezaliman firaun, meski telah berjaya diselamatkan oleh Musa.

sayang, Nabi terakhir ialah Nabi Muhamaad s.a.w.

Friday, June 12, 2009

Penyatuan

Menyatukan manusia, meski secara individu atau kelompok, bukan kerja mudah, bukan kerja sehari semalam, tapi adalah sebuah proses transformasi budaya. Banyak contoh kegagalan dari kejayaan diceritakan dalam sejarah manusia ini dalam usaha menyatukan manusia. Manusia-manusia besar dunia hanya mampu mengikat kelompoknya dalam tempoh sementara saja dan ternyata menghadapi rintangan dan tantangan besar dari dalam , dan akhirnya penyatuan itu berantakan dan berkecai.

Justeru, hanya pimpinan Nabi Muhamaad saja disebut berjaya menyatukan kelompok Madinah dan Mekah dalam masa dua puluh tiga tahun saja.

Kenapa perlu heboh dan takut pada penyatuan dan perpecahan, sedang kita punya teladan yang sangat besar dan berkesan. Yakni Penyatuan Rabbani yang ditunjuk oleh Nabi kita.

Monday, June 01, 2009

Tunggulah tuan

Semuanya menunggu berlaku keruntuhan untuk mengubah dasar negara. Semuanya menunggu berlaku keruntuhan untuk meluluskan peruntukan.

Tunggulah Tuan II

Semuanya menunggu berlaku keruntuhan untuk mengubah dasar negara. Semuanya menunggu berlaku keruntuhan untuk meluluskan peruntukan. Mereka tidak bisa berfikir, tidak bisa mencerna pembangunan yang integriti, meski dididik dengan pengajian yang tinggi dan dibayar dengan peluh rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

Kemana hilangnya kemanusiaan yang manusiawi, dalam mengurus tanggungjawab pada ummah ini. Kenapa mereka ini?.

Hari ini, satu lagi monumen kebanggaan ulul amri minkum runtuh, sujud dan terlantar mencium bumi. Marhaen, pungutlah puin-puin itu, kerana ia adalah titik peluh kamu!.

Monday, May 25, 2009

Nasionalisma Ku

Salahkah kalau kita hidup dan mewakafkan diri untuk perjuangan bangsa kita. Bangsa melayu yang sedang dipanggang hidup-hidup. Kekuatiran pada nasib dan masa depan bangsa ini pasti hancur justeru ummahnya sangat lemah dan tidak mampu berdepan dengan cabaran apa pun. Apa lagi hempasan globalisasi yang jelas untuk maslahah hegemoni barat.

Ummah melayu bakal merempat di negeri sendiri. Melayu perlu perjuangan anak bangsanya yang tangguh dan bersifat pahlawan.

Bangunlah bangsa ku, bangsa yang pernah menguasai daratan dan lautan nusantara ini!.

Tuesday, May 05, 2009

Hakim Durja

Kekacauan dan kebobrokan dalam sistem perundangan kita, benar-benar boleh memecahkan dada kita, malah memburaikan otak kita, otak rakyat yang lama hauskan keadilan dari sistem yang angker ini.

Pesan dalam buku kuno dalam mana-mana peradaban pun, sangat mengutuk dan mendurjakan sebarang kezaliman dan ketidaktulusan dalam menjatuhkan hukum yang adil. Justeru rakyat pasti amarah, apa lagi penguasa langit dan bumi yang selalu berpesan tentang keadilan, amanah dan kewajaran dalam menghukum.

Tidak dapat dibayangkan, apabila bagaimana rakyat seluruhnya bosan dan tidak lagi mempercayai walau sekelumit pun kepada sistem kehakiman kita.

Monday, March 30, 2009

Seorang Nizar



Selamat Berjuang Saudara Nizar!.

Perit perjuangan adalah kebahagian para nabi. Berjuanglah saudara Nizar bersama mereka yang dikucilkan. Pasti apa yang mengisi langit dan bumi bersama mereka yang mencintai Allah dan Allah mencintai dan mengasihi mereka. Dan mereka itu berjuang dengan gagah berani untuk menegak kalimah Allah di muka bumi ini.

Selamat untuk Nizar..

Friday, March 06, 2009

Terharu



Apabila dua pemimpin di bumi bertemu, langit dan bumi bertasbih memohon keampunan kepada penguasa langit dan bumi agar bumi ini dimakmurkan.

Thursday, February 19, 2009

Kudeta Jijik

Apakah hikmahnya dari langit, sebelum Pakatan Rakyat (PR) kenduri besar di atas kemenangan yang strategis di Parlimen kuala Terengganu, tiba-tiba seluruh urat saraf pendokong PR, malah rakyat demokratis bagaikan direntap ganas oleh tangan brutal UMNO dalam hal merampas Negeri Perak yang sedang nyaman dibawah seorang Menteri Besar yang pernah dimiliki rakyat Perak.
Ada yang mengatakan, ini semua adalah belantara politik yang hanya mampu dimenangi dan dikuasai mutlak oleh binatang yang paling ganas dan berani biadap.
Ada yang mengatakan, ini semua adalah proses untuk mengasuh Ir.Nizar kelak menjadi pemimpin besar suatu waktu nanti. Mungkin sehebat Ir.Abbas Madani dalam FIS yang dinafikan kemenangannya di demokrasi Aljazair.
Perkaranya, apakah mungkin bangsa ini mula menyerap budaya binatang belantara yang bisa memburu atau diburu untuk kehidupan yang amat sementara ini.
Di mana Islam mu, di mana Rasul mu, di mana tuhan mu.

Sunday, January 04, 2009

Merebut Kuala Terengganu

Sebuah pilihanraya, samada kecil atau besar adalah sebuah pertempuran. Parti yang berlawan akan menyiapkan kelengkapan sebaiknya untuk menggempur lawan, dengan menjatuhkan lawan sama rata dengan tanah dan pada masa yang sama merebut dokongan pengundi agar memilih wakil mereka untuk kerusi parlimen yang hanya satu saja untuk Kuala Terengganu.

Demokrasi dan liberalisasi selalunya akan melahirkan manusia perjuangan yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak segan untuk menindas orang lain, apatah lagi rakyat kecil.
Akhirnya bangkitlah seorang haiwan kapitalis yang tega menghisap darah rakyat secara halus dan halimunan.