Wednesday, March 21, 2007

Islam dan Perjuangan

Setiap perjuangan memerlukan persiapan yang besar. Perjuangan dalam bentuk apa pun mendambakan persiapan besar-besaran itu. Kadang-kadang banyak perkara dikorbankan demi mencapai tujuan. Pemimpin yang besar justeru wajar melihat perjuangan dengan mata elang yang bebas dari permukaan bumi, menerawang di angkasa. Mampu melihat dan membaca bukit, lautan, daratan dan angkasa. Pemimpin begini kelihatan gagah, gah dan wibawa. Malah kelihatan bijak dan tangkas. Namun ia berehat dan tidur di ranting pohon atau di celah batu di bukit-bukit hamparan bumi. Ummah membutuhkan pemimpin persis elang yang bersahabat dengan langit dan bumi.

apatah perjuangan islam yang maha besar ini. Ann Wan Seng pernah menyebut dalam suatu forum di TV, bahawa Islam adalah agama perjuangan. Sesiapa yang memeluk islam, bererti ia memasuki sebuah perjuangan. Dan setiap perjuangan meminta korban. Kemanisan dan kehebatan islam hanya dapat dirasakan dan dinimmati oleh orang yang berjuang.

Dan kenapa kita mesti menanggalkan baju perjuangan ini, hanya kerana takutkan kekalahan. Tengku Abdul Jalil dari Acheh adalah suri teladan perjuangan ini.

Sunday, March 04, 2007

Tengku Abdul Jalil dan Perang Acheh

Dalam Perang Aceh, Bumi Tanah Rencong menentang Jepun, Tengku Abdul Jalil bersama seratus muridnya bersuluk di sebuah pondok di kampung Bayeu. Mengikut kepercayaan orang Aceh dulu kala, apabila seseorang tengku atau kerabat raja memasuki tarikat atau beramal dengan bersuluk, bererti suatu agenda besar sedang diatur dan disusun, selalunya demi untuk agama, bangsa dan tanahair nya.
Tengku Abdul Jalil sedang menggerakkan rakyat Aceh untuk bangun menentang Jepun. Lalu Tengku Hassan dan rombongan beberapa ulamak mendatangi Tengku Abdul Jalil bagi memujuk beliau supaya membatalkan niatnya itu dan menganggap usaha itu amat sia-sia.
" Kalau Tengku tidak menyerah, kampung Bayeu dan pondok Tengku ini akan dibakar Jepun"
"Saya akan melawan "
"Perlawanan kamu nanti adalah perlawanan sia-sia "
"Melawan bukan sia-sia. Menyerah lah yang sia-sia. Menyerah belum tentu syahid. Tetapi melawan sudah tentu syahid".
Demikian dituturkan Hamka dalam buku kenang-kenangannya.
Tengku Abdul Jalil adalah simbol perjuangan dalam bentuk apa pun. Menyerah adalah sebuah kekalahan. Berjuang adalah sebuah kemenangan. Pasti menang di sisi Allah, meski kalah di sisi manusia.