Tuesday, October 25, 2011

Khadaffi dikenangkan

Khadaffi (sebutan sebenarnya) akhirnya mati secara tidak wajar. Sebagai pemimpin besar, mati di bawah kolong adalah sesuatu yang sangat aib. Tapi itulah nasib atau ketentuan tuhan yang tertulis di langit tinggi. Pemimpin yang perkasa boleh jatuh di tangan rakyat yang pernah diperintah, meski peranan yang terbesar adalah laknat NATO yang tidak pernah simpati kepada dunia islam.

Rakyat Libya telah membuat pilihan untuk negara mereka. Jangan sampai menjadi persis isteri aladdin yang sanggup menukar lampu ajaibnya yang kelihatan lusuh kerana terpikat dengan lampu ahli sihir yang kelihatan bersinar dan cemerlang.

Memang benar Khadafi zalim dan kejam pada musuh politiknya, tapi apakah tidak ada sekelumit kebaikan kepada rakyat LIbya untuk menyebabkan beliau dihormati dan dilayan sebagai pesalah yang ada harga diri dan kemanusiaan.

Khadafi!. Selamat Jalan. Tuhan pasti menghitung anda dengan keadilan yang tidak dimiliki oleh rakyat LIbya.

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan ku

Ramadan beransur pergi. Entah tahun depan kita punya kesempatan meraih segala kurniaan tuhan dengan saksama, entah tidak punya kesempatan bertemu ramadan lagi. Selalu kita merasakan dirugikan olah kelemahan diri sendiri kerana tidak mampu berpartisipasi sesempurna mungkin dalam ramadan ini. apabila ia berlalu, penyesalan menyelinap dan akhirnya sirna menjelang ledakan hari raya.

Kita jenis manusia yang penuh kelemahan, perlu mencari persahabatan untuk menjana diri, memohon kekuatan dari Allah agar kita dan ramadan bersatu, menyalami dan bergetar bersama ramadan!.

Thursday, July 14, 2011

Hanya Bersih

Ketumbukan Bersih 2.0 berjaya mencapai cita-citanya, meski diraung, dijerit dan diugut dengan seribu senjata ketakutan. Hanya manusia pemberani mampu melihat jeritan serigala di rimba raya sebagai siulan margasatwa yang enggan tidur di sarang.

Derap langkah perjuangan menyusuri lorong dan gang seakan mahu bercerita, bahawa di bumi ini, padang kami tidak tenteram, tidak bersih, tidak nyaman. Padang kami penuh duri dan onak tajam. Padang kami penuh kerikil menggigit kaki. Padang kami penuh ular, kala dan jengking. Apakan daya kami hanya punya padang berbisa ini untuk bermain demokrasi bagi tanah air ini.

Bersih 2.0 hanya mahu memiliki sebuah padang demokrasi yang aman tenteram, salim dan bersih dari segala perkara yang boleh menyengat demokrasi. Buat semua. Buat semua bangsa, semua agama, semua parti, semua manusia pecinta demokrasi.

Bersih tidak pernah mencabar siapa-siapa. Bersih tidak pernah bercerita tentang bangsa atau agama sesiapa. Bersih hanya dambakan kebersihan pilhanraya untuk semua. Dan pastinya mereka yang menang dalam pilhanraya yang bersih dan suci kelak akan meraih kehormatan dan gengsi yang bermaruah. Dan rakyat akan tunduk dan patuh pada sebuah pilihan yang benar-benar adil dan berhukum.

Bersih 2.0 pasti ada Bersih 3.0 dan seterusnya selagi demokrasi tidak menjanjikan keadilan hakiki kepada setiap rakyat yang cinta damai di bumi bunda ini.

Tuesday, May 03, 2011

Teladan Osama Buat Sang Abu Izzah

Kematian Osama, Teladan Buat Sang Anwar

Setelah bertahun-tahun si jahanam Amerika menjejaki Osama, akhirnya baginda dikatakan mati digempur oleh militer Amerika. Kalau lah tragedi ini benar, maka ummah Islam kehilangan seorang pahlawan terbilang yang tiada tandingannya. Walau pun dunia Islam mempunyai ramai ulamak dan ahli abid yang wiridnya " hidupku dan matiku untuk tuhan" tapi tidak ramai yang mengotakan pengakuan ini dengan tindakan gagah berani.

Tapi sang mujahid ini telah membuktikan bahawa dirinya, nyawanya demi untuk menghancurkan musuh islam al kubra. Yakni setan besar, kata Khomeini.

Osama dan gerakannya bergerak dengan sangat rahsia dan berhati-hati. Terlalu tidak mungkin agen-agen Amerika dengan mudah dapat asses dan mengesani lokasi persembunyian Osama. Pasti mereka-mereka di sekeliling atau hampir dengan beliau yang membocorkan atau membekalkan rahsia kedudukan Osama kepada Amerika. Pastinya mereka sanggup melakukan pengkhianatan ini bukan kerana perbedaan pandangan, tapi tamak haloba dan cinta dunia. Lalu sanggup mengkhianati perjuangan demi untuk mengisi perut yang loba.

Justeru Sang Anwar Ibrahim perlu berhati-hati, sudah terlalu ramai kawan-kawan perjuanganya sanggup menikam belakang demi hanya sekupang dua habuan dunia kerana penat dalam perjuangan partisan, hidup dalam ketakutan dan tekanan. Apalagi bila ada keluarga yang merintih dan keluh kesah kononnya sengsara.

Sang Anwar berkemungkinan akan keseorangan dan akhirnya tumbang kerana tiada lagi siapa-siapa yang sanggup berdepan dengan perjuangan. Manusia berjuang adalah manusia pilihan tuhan.

Ini berlaku kepada Diponegoro, Imam Bonjol dan Imam Syamil. Kesemuanya tewas bukan di tangan kekuatan musuh, tapi tersungkur kerana helah pengkhianatan rakan seperjuangan.