Monday, May 25, 2009

Nasionalisma Ku

Salahkah kalau kita hidup dan mewakafkan diri untuk perjuangan bangsa kita. Bangsa melayu yang sedang dipanggang hidup-hidup. Kekuatiran pada nasib dan masa depan bangsa ini pasti hancur justeru ummahnya sangat lemah dan tidak mampu berdepan dengan cabaran apa pun. Apa lagi hempasan globalisasi yang jelas untuk maslahah hegemoni barat.

Ummah melayu bakal merempat di negeri sendiri. Melayu perlu perjuangan anak bangsanya yang tangguh dan bersifat pahlawan.

Bangunlah bangsa ku, bangsa yang pernah menguasai daratan dan lautan nusantara ini!.

Tuesday, May 05, 2009

Hakim Durja

Kekacauan dan kebobrokan dalam sistem perundangan kita, benar-benar boleh memecahkan dada kita, malah memburaikan otak kita, otak rakyat yang lama hauskan keadilan dari sistem yang angker ini.

Pesan dalam buku kuno dalam mana-mana peradaban pun, sangat mengutuk dan mendurjakan sebarang kezaliman dan ketidaktulusan dalam menjatuhkan hukum yang adil. Justeru rakyat pasti amarah, apa lagi penguasa langit dan bumi yang selalu berpesan tentang keadilan, amanah dan kewajaran dalam menghukum.

Tidak dapat dibayangkan, apabila bagaimana rakyat seluruhnya bosan dan tidak lagi mempercayai walau sekelumit pun kepada sistem kehakiman kita.

Monday, March 30, 2009

Seorang Nizar



Selamat Berjuang Saudara Nizar!.

Perit perjuangan adalah kebahagian para nabi. Berjuanglah saudara Nizar bersama mereka yang dikucilkan. Pasti apa yang mengisi langit dan bumi bersama mereka yang mencintai Allah dan Allah mencintai dan mengasihi mereka. Dan mereka itu berjuang dengan gagah berani untuk menegak kalimah Allah di muka bumi ini.

Selamat untuk Nizar..

Friday, March 06, 2009

Terharu



Apabila dua pemimpin di bumi bertemu, langit dan bumi bertasbih memohon keampunan kepada penguasa langit dan bumi agar bumi ini dimakmurkan.

Thursday, February 19, 2009

Kudeta Jijik

Apakah hikmahnya dari langit, sebelum Pakatan Rakyat (PR) kenduri besar di atas kemenangan yang strategis di Parlimen kuala Terengganu, tiba-tiba seluruh urat saraf pendokong PR, malah rakyat demokratis bagaikan direntap ganas oleh tangan brutal UMNO dalam hal merampas Negeri Perak yang sedang nyaman dibawah seorang Menteri Besar yang pernah dimiliki rakyat Perak.
Ada yang mengatakan, ini semua adalah belantara politik yang hanya mampu dimenangi dan dikuasai mutlak oleh binatang yang paling ganas dan berani biadap.
Ada yang mengatakan, ini semua adalah proses untuk mengasuh Ir.Nizar kelak menjadi pemimpin besar suatu waktu nanti. Mungkin sehebat Ir.Abbas Madani dalam FIS yang dinafikan kemenangannya di demokrasi Aljazair.
Perkaranya, apakah mungkin bangsa ini mula menyerap budaya binatang belantara yang bisa memburu atau diburu untuk kehidupan yang amat sementara ini.
Di mana Islam mu, di mana Rasul mu, di mana tuhan mu.

Sunday, January 04, 2009

Merebut Kuala Terengganu

Sebuah pilihanraya, samada kecil atau besar adalah sebuah pertempuran. Parti yang berlawan akan menyiapkan kelengkapan sebaiknya untuk menggempur lawan, dengan menjatuhkan lawan sama rata dengan tanah dan pada masa yang sama merebut dokongan pengundi agar memilih wakil mereka untuk kerusi parlimen yang hanya satu saja untuk Kuala Terengganu.

Demokrasi dan liberalisasi selalunya akan melahirkan manusia perjuangan yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak segan untuk menindas orang lain, apatah lagi rakyat kecil.
Akhirnya bangkitlah seorang haiwan kapitalis yang tega menghisap darah rakyat secara halus dan halimunan.

Tuesday, November 18, 2008

Obama dan Amerika

apabila Obama memenangi jawatan tertinggi negara adi kuasa, ramai yang bertepuk tangan dan mengurut dada kelegaan, dengan suatu harapan, dunia akan semakin aman dan tenteram tanpa samseng yang kurang ajar.
Benarkah begitu?.
Jangan sampai ada yang terpesona dengan bombastik dunia yang menganggap Amerika adalah penentu segalanya. Amerika hanyalah pengacau yang suka mengganggu dan tunjuk taring pada dunia ketiga saja.
siapa pun presiden, itulah Amerika.

Sunday, November 09, 2008

UMNO

Pemilihan barisan kepimpinan UMNO tidak pernah berubah dari tahun demi tahun. Salakan bahawa suapan dan salah guna kuasa kedengaran dari semua arah kaki bukit. Entah siapa disalaki. entah siapa menyalaki. Kedengarannya sahut menyahut dari semua arah.

Kita menjadi jelek, bosan dan rimas. Apatah lagi media terlalu berminat dan berlumba menyiarkannya, meski rakyat rata-rata muak dan mual disogok maklumat yang kontang dan jijik ini.

Benar, tamaddun sesuatu bangsa itu pasti runtuh apabila penguasa yang diberi amanah dan rakyat yang perlu pimpinan terpisah dan benci membenci.

tunggulah saatnya, bangsa ini akan dibumiratakan di tanah semenanjung emas ini!.

Thursday, August 28, 2008

Rajawali

Permatang Pauh, sekian lama menjadi saksi kepada sebuah perjuangan getir seorang anwar yang membesar dari air gunung yang membelah permatang. cuma pada tempoh terdekat ini, perjuangan besar itu menjadi lebih getir dan menakutkan, justeru ambisi pemerintah yang semakin ganas dan tiada ampun dalam usaha untuk membunuh karier seorang anwar yang hidup dalam lawan tetap lawan. Sekali lagi Permatang Pauh berjaya menerbangkan sang rajawali pacarnya langit menembus awan mencari harga diri. Beribu batu menerjah kerikil, terluka dan patah sayapnya. Sang Rajawali utuh berlari dan terbang tinggi melihat samudera dan

Monday, July 28, 2008

Bertemu untuk curang

Deligasi sulit PAS bertemu dan berbincang dengan mala'un UMNO sangat mendukacitakan. Rata-rata rakyat yang telah bangkit ini menjadi marah, kecewa dan menyumpah seranah. Untuk apa pertemuan itu?. Atas nama apa pun pertemuan itu. Atas nama dakwah, atas nama perpaduan melayu atau atas nama keutuhan Islam, apakah pimpinan PAS telah menghitung sebijak-bijaknya tindakan itu. Apakah masa yang getir ini sangat sesuai untuk berbincang demi survial melayu dan islam. Ditengah-tengah PAS sedang melonjak naik dan mendapat dokongan dari non Islam, tiba-tiba ada sekelumit aktivisnya telah merosak dan membelah kepercayaan ini dengan sewenangnya. Semuanya menjadi musnah dalam satu detik saja. Pastinya kita memerlukan berpuloh tahun pulak untuk meraih kepercayaan ini. Ternyata PAS memerlukan proses yang lebih panjang lagi untuk menjadi bijak dalam wadah rimba raya demokrasi ini.

Wednesday, July 16, 2008

Sang Rajawali

Berdebar menanti saatnya, agaknya apa helah UMNO untuk memerangkap Anuar dalam debat itu. Itu yang bermain dalam minda ku ini saat-saat sebelum debat berlangsung. Walau pun aku sangat yakin dengan Anuar, tapi muslihat UMNO sangat tragis dan tak tercapai dek akal kita.
Pasal Shaberi, aku tidak tertanya-tanya, kerana aku pernah mengenyam pandangannya dalam pidato dan tulisannya semasa dalam gerombolan S46 bersama YM Ku LI dan Rais Si Pembakar Jambatan. Dalam debat itu Shaberi menjilat ludahnya sendiri, yang dihembur bertahun-tahun dulu.
Bila debat berlangsung, aku menjadi sangat lega dan berbangga, apabila Anuar ternyata bagai Rajawali yang menguasai langit, hebat, berwibawa dan sama sekali seorang berjiwa besar. Sangat kagum, justeru beliau sama sekali tidak terikut cara samseng shaberi.
Tepatlah Wilibrodos Rendra menggelar Anuar, Sang Rajawali Pacarnya langit.
Sayang, apabila Rajawali menyinar langit, tiba-tiba ia harus terbang jauh memasuki suatu daerah yang penuh kebuasan.
Kita tidak tahu nasibnya, kerana ini adalah Malaysia.

Wednesday, June 25, 2008

Teladan dari Deponogoro

Apabila Ezam masuk UMNO.
Di atas apa hujah dan alasan pun, kita tidak pasti mahu bersikap wajar atau tidak dalam menyenangi tindakan seorang pejuang (yang dianggapi selama ini), tiba-tiba memutar seluruh dunia perjuangannya. Mencintai orang yang disumpah seranah selama ini. Mendokong dengan penuh citra wadah yang paling dijijiknya. Dan pada masa yang sama membelasah kawan dan guru yang mendidiknya selama ini. Hujah bisa dicari, alasan bisa dicipta. Malah beribu buku bisa dikarang untuk membenarkan tindakan sendiri. Mungkin potongan surah- surah Tuhan dan Nabi tega dipungut dan dicantum untuk memperkaya keyakinan , atau untuk meraih kepercayaan ummah dalam membina ketokohan diri sendiri.
Begitulah manusia apabila berjalan di atas muka bumi ini. Penuh kesombongan, penuh kemunafikan.
Sejarah membekalkan kita beribu desperado yang pernah muncul dan membuat kekacauan pada semua bangsa dan zaman.
Di antara yang paling hampir dengan Nusantara ini ialah kisah pembelotan tokoh-tokoh besar dalam perjuangan Diponegoro yang hebat itu. Diponegoro dengan dibantu oleh panglima-panglima yang gagah berani dan kental darah perjuangannya tidak terkalah oleh belanda selama puluhan tahun.
Tapi akhirnya belanda berjaya menangkap Diponegoro dan mematahkan perjuangan Islam dan keadilan ini melalui pembelotan panglima gagah beraninya seperti Alibasah dan Patih Danureja.
Sejarah menyejukkan hati kita bahawa perjuangan apa pun, pasti muncul mereka-meraka yang bersifat munafik dan memenang diri sendiri.
Taufik Ismail ( seorang tokoh Indonesia ) pernah mengungkapkan bahawa apabila kita memasuki dalam mana-mana perjuangan, kita pasti berdepan dengan si munafik.

Tuesday, May 13, 2008

Naif

LAPANG SEBELUM SIBUK
Benar, kenyataan ini. Kesibukan menyambung kehidupan ini amat memerlukan tenaga dan masa yang sangat banyak. Kesempatan bersama keluarga dan surau menjadi getir. Untuk meninggalkan urusan kehidupan ini terlalu tidak mungkin.
Dalam keadaan dunia kepenggunaan yang amat kapitalis ini, kita mnejadi gila untuk menyambung kehidupan ini. kita seolah bertarung dalam sebuah permainan, dimana masing -masing akan menyelamatkan diri masing-masing.
Maka, ada yang terpaksa ditinggalkan. Di antaranya blog yang disayangi ini. justeru ini adalah medan terbuka untuk berkongsi pengalaman yang di adaptasikan dari pembacaan, pergaulan dan pengamatan.
akan digagahi

Tuesday, April 15, 2008

Hassan Al Bana

Teladan seorang pemimpin, yang menyentuh hati ku.
Diceritakan oleh Umar Telmasani ( mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimim ).
Suatu hari kami ( bersama Hassan Al bana ) keluar berdakwah di suatu tempat yang jauh. Disebabkan kelelahan, mereka menginap di sebuah hotel.
Umar Telmasani baru nak melelapkan mata, Ustaz Hassan Albana memanggilnya perlahan "Umar, dah tidur ke?". Umar menjawab " belum lagi ".
Tak lama kemudian Ustaz Hassan Albana memanggilnya lagi, " Umar dah tidur ke?". Umar menjawab "belum lagi".
Tak lama kemudian Ustaz Hassan bertanya lagi, untuk mempastikan kawannya Umar dah tidur ke belum. Umar mengatakan, disebabkan ia dah malas nak menjawab, ia diam saja.
Barangkali, Ustaz Hassan menyangka Umar sudah tidur, Ustaz Hassan telah bangun perlahan-lahan dan kedengaran beliau mengambil wudhu, dengan curahan air yang sangat perlahan. Mungkin beliau bimbang akan mengejutkan Umar yang dianggap sedang tidur.
Dan Ustaz Hassan solat malam beberapa rakaat.
hebatnya pemimpin yang besar ini.
Demikian diceritakan Umar dalam teksnya.

Saturday, March 29, 2008

Tentera Kuning

Terkejut. semuanya terkejut. Orang kampung terkejut. Orang bandar terkejut. Orang paling bodoh terkejut. Orang paling cerdik terkejut. Tapi makhluk di langit tidak terkejut. Dan tuhan yang menguasai dan mengasuh alam ini tidak terkejut. Apa yang berlaku adalah sunnah alam.
Apabila ada manusia melakukan kezaliman, apabila manusia lupa diri, apabila manusia bongkak dan sombong, maka imbalan dari tuhan akan turun bersama turunnya derai airmata manusia kecil yang disakiti. Apatah lagi apabila ada orang yang dekat dengan tuhan mengadu dan pohon pertolongan tuhan diatas Ketidakupayaan mereka untuk bertahan menghadapi manusia zalim yang angkuh dan bongkak ini.

Itulah tanah airku. Bahagia rasanya bila kita berkesempatan menyaksikan ini semua berlaku, justeru banyak iktibar dan pelajaran bisa dipungut dari tragedi ini.

Akhirnya barisan rakyat, tentera kuning, pejuang Islam mampu mengunjuk kekuatan. Meski gelombang perjuangan jauh lebih besar menunggu di depan sana.

Para tirani dan musuh Allah bisa ditunduk untuk sementara waktu.

Monday, February 18, 2008

Pilihanraya Berahsia

Akhirnya tiba juga saatnya. Saat yang paling rahsia dalam agenda negara. Meski seluruh negara yang paling modern dan paling ortodok di dunia ini tidak menjadikan titik pilihanraya sebagai rahsia negara. Tapi di tanah air ku sungguh mengharukan dan kadang-kadang menyesak dada . Memuntahkan.
Bila demokrasi datang bagaikan pelesit yang dilepas oleh tuan besarnya. Pasti ramai rakyat kecil akan digigit, dirasuk dan ditakutkan dengan wajah-wajah huduhnya. Rakyat akan hingar bingar, ketakutan dan merasa tidak selamat dan tidak menentu. Dalam hanya beberapa hari saja mereka dituntut untuk membuat pilihan, tunduk pada tuan besar dan pawang atau mencari kesejahteraan di dada tuan guru atau lebai.
sebagai rakyat yang ketakutan, pastinya rakyat akan tunduk dan pasrah kepada tiga oknum brutal itu .
Tuan besar, pelesit dan pawang akan menjalin kerjasama yang rahsia dan erat untuk mengaut faedah dalam mengugut dan mengancam rakyat kecil.
Akhirnya gengsi tuan besar dan pawang semakin tinggi membongkah awan dan membuka dada yang terbilang, gemilang dan cemerlang.

Wednesday, January 23, 2008

Menunggu Karnival

Meski semboyan belum berbunyi, genderang perang telah ditabuh. Petanda suatu kerja besar akan berlangsung. Ummah kita akan dihimbau untuk membuat pilihan menentukan kepimpinan negara melalui suatu karnival yang paling meriah di negara ini. Karnival demokrasi yang menjadi anutan kepada hampir semua negara di seluruh dunia ini. Malah kita digambarkan inilah satu-satunya cara terbaik dan paling adil untuk menentukan siapa yang paling layak memimpin kita dan negara ini.
Tapi sayang, Malaysia tidak pernah berdepan dan melalui demokrasi yang hening, suci, jujur dan demokratik. Demokrasi kita paling hodoh, paling bodoh dan paling tolol.
Rakyat ditutup mata dan mulutnya. Gelanggang medan perjuangan ternyata benjol-benjol dan serba menyakitkan. Wasit nya memalukan dan bisa dibeli dengan seutas tali hidung. Semuanya kelihatan seperti badut atau wayang.
Apalah nasib kita, terpaksa menyaksikan semua ini secara terbuka dan terluka.
Demokrasi bukan lapangan yang aman sejahtera untuk kehidupan ini.

Saturday, December 15, 2007

Perjuangan

Memang benar perjuangan apa pun pasti berdepan dengan tantangan, cabaran atau kegetiran. Selalunya hanya mereka yang terpilih saja mampu mengharungi segala kesakitan dalam perjuangan itu. Kalau Mao terpaksa mengorban ribuan maoisme dalam exodus bersejarah itu, Khomeini bersedih atas kematian tanpa alamat ratusan ribu revolusioner Islam Iran, Che Gubara menyaksikan ratusan leftisme roboh di hujung senapang kolonial.
Itulah perjuangan namanya. Warisan bumi manusia zaman berzaman.
Termasuk para ambiya', manusia terbaik pilihan tuhan, pun terpaksa menjalani kesakitan ini, kerana inilah satu-satunya jalan perjuangan.
Apabila Zainab alGhazali dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, oleh sebuah pemerintahan umat Islam atas tuduhan yang dibuat-buat ( terlibat merancang pembunuhan Naseer ), serikandi ini mengungkapkan dalam 'detik-detik hidupku', "matlamat kami lebih besar dari itu, yakni urusan tauhid di atas muka bumi ini, menegakkan alqur'an dan sunnah rasul. Sesungguhnya ini adalah urusan pemerintahan Allah. Tidak ada pemerintahan melainkan pemerintahan Allah."
"Pembunuhan Jamal Naseer adalah perkara kecil dan orang Islam tidak perlu melakukannya. Perkara yang lebih besar ialah soal Islam. Negara Islam belum berdiri, jadi kami bekerja untuk mendirikan kerajaan Islam"
Ini adalah warisan perjuangan dari ambiya' untuk ummah Islam dari seluruh zaman. Dan pasti kegetiran yang berupa ujian itu akan menyusul datang bagai gelombang demi gelombang.
Ada sebahagian dari kita telah menjalani denai penuh kerikil ini dengan tabah dan tulus.
Percayalah, syurga Allah itu mahal harganya.

Friday, November 23, 2007

Revolusi Tuhan

"Dalam setiap pergerakan rakyat dan revolusi tuhan, para ulamak adalah orang pertama yang dahinya berlumuran darah dan pertama meraih gelar syuhada".
Demikian Imam Khomeini pernah mengungkapkan, semasa mengobarkan perjuangan revolusi rakyat Iran menentang pemerintahan rejim Shah Pahlavi. Kekuatan Shah, sebagai kekuatan sebuah kerajaan yang memiliki segala-galanya, akhirnya ranap di ujung tapak kaki para mullah dan rakyat yang bersatu dalam satu gelombang kebangkitan yang bernama revolusi tuhan. Revolusi ini mengorbankan banyak syuhada, banyak melahirkan janda dan anak yatim.
Itulah perjuangan. Setiap perjuangan dambakan pengorbanan. Dan nilai pengorbanan inilah yang menentukan kedudukan dan nilai syurga yang akan diraih oleh pejuang-pejuang. Tuhan pasti tidak akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang samada berhasil atau tidak sesuatu perjuangan itu. Yang Pasti, tuhan akan mempertanggungjawabkan kepada pejuang-pejuang bagaimana anda berdepan dengan perjuangan ini.

Wednesday, November 14, 2007

Ulamak Penjilat

Sayyid Muhammad Kazhim Syariat Madari, seorang ulamak syiah penjilat dan menyokong kerajaan Rejim Shah Pahlavi mengatakan " seluruh rakyat dikehendaki bertenang dan menjauhi demonstrasi jalanan, kerana roh yang suci tidak secocok untuk berdepan dengan peluru ". Beliau berkata demikian semasa berdepan dengan revolusi Islam, yang dipimpin oleh Imam Khomeini. Malah beliau dalam satu kenyataan yang lain mengatakan " jangan mencela atau berprasangka burok kepada paduka Raja Shah yang mulia ". Petikan buku Imam Khomeini oleh Ayatullah Ahmad Khomeini ( anak lelakinya ).
Membaca teks ini, sangat berbaloi untuk mengenal liku-liku perjuangan Islam yang terpaksa berdepan dengan peluru dan mortar muntahan dari ulamak keji yang cinta dunia, munafik, berpura suci, penjilat penguasa tirani dan tega menentang perjuangan Islam, perjuangan qur,ani.