Sunday, February 02, 2014

Menumbuk Kajang

Mereka marah-marah
entah pada siapa
pada dada sendiri
atau
mereka yang di atasnya.

setan !.

Kajang

Kajang panas dan menggemparkan.  Ada yang panik dan ada yang tersenyum sumbing.  Jugak ada yang seperti dirasuk polong, meronta-ronta dan meracau ke hulu hilir.  Ada jugak seorang dua berlagak pandai dengan hujah sang kelembai. 

Kita bukan baru dan mentah dalam pilihanraya samada pilihanraya umum atau kecil.  Rasanya ummat Malaysia sangat masak, berpengentahuan dan mendalam  memahami alam persilatan politik tanahair ini. Bukankah sudah terlalu lama dan terlalu banyak kita berdepan dengan aktor politik yang immoral, ganas, penipu, tamak, rasuah dan pelbagai kejahatan lagi.

Kenapa kali ini ada yang menjadi gilababi, apabila sebuah kerusi di kosongkan. Bukankah ia sebuah jurus rahsia dalam politik untuk mengelirukan lawan. Apakah sebelum ini ada aktor yang lebih kejam, mejatuhkan lawan dengan keluar dari parti lalu bergabung dengan musuh. Bukankah ianya sebuah pengkhianatan. Pengkhianatan kubra yang menyebabkan runtuh sebuah kerajaan.

Politik demokrasi memang menjadi jagat raya manusia menghancurkan manusia lain dengan lidah dan tingkahnya. Tapi ada manusia terpaksa mengharungnya demi mencapai matlamat suci yang sangat tinggi dan lohor.

Apapun beraksilah dengan dada terbuka dan jiwa yang waras wahai bangsaku.

Thursday, January 09, 2014

Opium Kenaikan Harga Barang dan Utiliti

Memang benar ada strategi untuk meredam kemarahan rakyat dengan mengalih kemarahan itu kepada perkara lain yang lebih sensitif.  Perkara paling baik ialah mengobarkan tentang isu keugamaan. Orang melayu mudah terusik bila menyentuh tentang raja-raja dan isu artifisial atau ritual dalam peribadatan.

Perkara pokok atau aqidah atau perundangan Islam mereka boleh bungkam dan telan tapi soal ritual mereka menggila tak tentu pasal.  Apa lagi bila ada pihak bijak menghasut dan membesarkanya melalui media atau talibarut pencacai yang konon berjuang diatas nama ugama.

Anihnya mereka hanya berani dan beraksi sendiri tapi takut dan tersipu-sipu untuk berdialog dengan semua pihak. Dan seluruh rakyat diajak untuk mendongeng perkara ini, pada masa yang sama melupakan kesakitan kenaikan semua harga barangan dan utiliti yang sedang mencekik rakyatkecil.

Friday, December 27, 2013

Membaca Rihlah Ibnu Batutah

Membaca buku 'RIHLAH IBNU BATUTAH' membuka minda kita bahawa landscape budaya dan keagamaaan ummat islam zaman dulu berwarna-warna. Ulamak dan para kadi dipandang tinggi, meski ada yang sangat zuhud dan ada yang sangat mewah.  Kebanyakan raja raja dan pembesar hidup penuh kemewahan dan dilimpahi kekayaan emas dan perak serta budak- budak abdi.

Amalan- amalan ugama menjadi acara pestaan dan kebesaran.  Meski kadang kadang penuh dengan pemborosan, khurafat dan bidaah. Patutla gerakan Sheikh Muhammad Abdul Wahab sangat dratis dan keras membuat pembenterasan kepalsuan ugama, yang berlaku di zaman selepas itu . Menyebabkan penguasa dan ulamak menentang dan mefitnah gerakan ini, kerana menyentuh dan menggugat keselesaan yang mereka sedang nikmati selama ini.

Meski pun begitu, catatan Ibnu Batutah jugak menceritakan kehebatan dan kemakmuran ummat Islam dan kebaikan budibahasa raja dan ulamak dalam menyambut tetamu dan pengembara.

Apakah ada lagi Ibnu Batutah di zaman ini.

Friday, November 29, 2013

Yusof Nada

Teks "Yusof Nada Disebalik Ikhwan Muslimin" sangat infomatif.  Seorang yang bekerja di belakang tabir dengan mendanai Ikhwan melalui bisnes pelbagai bidang antarabangsa.  Memiliki bank At Taqwa, syarikat perkapalan, simen, hartanah dan pembinaan.  Terpaksa berhijrah ke Itali dan mempunyai hubungan diplomtik dgn pemimpin dunia.

Akhirnya beliau dituduh tanpa bukti membiayai pengganas oleh Amerika, PBB dan Eropah.  Disiasat, ditahan, digeledah dan aset bank dan perniagaannya dibekukan. 

Yusof mendedahkan konpirasi ini dengan terbuka dan mengemukakan beberapa insiden disebalik beberapa peristiwa dunia yang membabitkan pemimpin dunia. 

Di antara teks yang paling puas hati mengenyamnya. Memulakan buku 'Rihlah Ibnu Batutah'

Monday, November 11, 2013

Bala Dari Tuhan

Mungkin benar apa yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun ratusan tahun dulu, bahawa kenaikan harga barang keperluan rakyat adalah suatu bala mala petaka yang diturunkan tuhan apabila penguasa menzalimi rakyatnya sendiri.  Rakyat menderita keperitan untuk menyambung hidup di dalam sebuah negara yang serba mencekik dan memukul dengan harga mahal berleluasa.

  Apa lagi rakyat kecil, agrarian, para buruh, para penganggur dan mereka yang telanjang kaki.  Mereka yang melihat beras dan gandum seperti emas dan perak.  Mereka tidak nyaman tidur dalam malam yang sangat gulita dan menderita.  Mana bisa tidur kalau perutnya ,perut isteri dan perut anak-anaknya bergelombang kelaparan.

Setiap suapan nasi kosong sangat mahal.  Setiap nafas yang dihembus terlalu berharga dan mahal justeru semua bil-bil mendadak naik, mungkin naik lagi di atas nama pembangunan untuk rakyat.

Salah siapakah wahai marhaen.  Salah pemerintah ?.  Salah pedagang penghisap darah?.  Atau salah kamu yang selalu bersikap bodoh dan selalu dibodohkan.

Dengarlah kata dari buku M. Natsir bahawa firaun itu menjadi sangat firaun kerana rakyatnya takut untuk mengatakan tidak kepada firaun.

Friday, November 08, 2013

Ibn Khaldun

Wisata Thailand

Berada dlm hingarbingar dirumahrakit sungai kwai sangat kacau.  Manusia yang menurut hawanafsu menjadikan dunia ini milik kejahatan mereka.  Mereka menari dan bergoyang brutal dengan berlapis muzikgila, muzik iblis. Aneh. Bagaimana manusia normal dan bejiwa tinggi bisa menikmati keanehan ini. Apakah kerana sang iblis berjaya menakluk.  Benar manusia menjatuhkan dirinya menjadi makhluk yang lebih rendah dan hina dari binatang.

Sungai Kwai sangat menderita sejak menelan ribuan kepala dan badan buruhpaksa zaman jepun hingga kesetanan manusia zaman kini yang memenuhi rakit di airnya

Saturday, October 26, 2013

Bohong Lagi

Setelah menggertak marah bahawa harga gula tidak akan naik, seorang menteri memberi amaran.  Beberapa hari kemudian PM yang mengutamakan rakyat dengan senyum sumbing mengistiharkan harga gula bakal naik demi untuk menggalakkan pengurangan gula dalam permakanan, nanti rakyat semakin sihat. 

Begitulah setiap kali harga rokok dinaikkan,  pasti dengan alasan kesihatan rakyat.  Sedangkan statistik pengeluaran rokok semakin meningkat bukan menurun dari tahun ke tahun.

Inilah bahasa kapitalis. Meraut keuntungan dari penderitaan rakyat kecil. Selalunya dalam dunia ketiga sang kapitalis penghisap darah sangat akrab dengan penguasa negeri.  Mereka bersekutu dan saling kekenyangan melahap keringat rakyat.

Apakah rakyat tanah ini masih bisa bersorak gempita di atas penindasan ini.

Thursday, October 24, 2013

Dari Buku "Disebalik Ikhwan Muslimin- Youssef Nada"

26 Oktober 1964, di Dataran Manshieh, Alexandria, sebuah peluru melesit menuju Gamel Abdel Nasser, yang sedang berucap. Tapi mana mungkin tembakan pistol dari jarak 400 meter boleh tepat pada sasaran. Nasser selamat dan dengan kebanggaan beliau berucap " seandai Nasser mati, anda semua adalah nasser. Nasser adalah anda dan dia sanggup mengorbankan hidupnya demi negara ". 

Peminpin Ikhwan Muslimin dituduh dan ditangkap.

Setelah Nasser mati beberapa tahun kemudian, Hassan al Tuhami bekas ketua perisik Mesir mendedahkan bahawa tragedi percubaan membunuh Nasser adalah lakonan semata- mata.  Dan dia memohon maaf.

Mlaysia tidak begitukan?

Wednesday, October 23, 2013

Politik Mual

Entah kenapa citarasa politik tanahair terasa memualkan.  Terasa persis sebuah permainan membosankan.  Terasa sebuah penipuan mega mahakarya penguasa-penguasa yang memperbudakkan rakyat dengan ugutan menakutkan dan gula- gula.  Rakyat kecil menjadi pandir dan dimiskinkan.

Yang benar dimomokkan yang lihai disinggahsanakan.  Bumi kita menangis dan langit menggeletar, bila sang aktor mencabar ketuhanan demi nafsu serakah.

Ada ulamak pacar sepertiga malam dinista dihina tanpa batas ugama.  Inikah pendidikan ummah puluhan tahun setelah merdeka konon.

Politik Bumi Ku

Pilihan raya terasa persis sebuah permainan. Ada pembuli. Ada pembodohan. Ada perbudakan. Ada penipuan. Ada kesetanan.
Entah kurun  ke berapa kita bisa berpartisipasi dalam sebuah demokrasi yang nyaman dan selesa.   Entah bila manusia politik hilang kebuasannya. Entah bila Sang aktor bisa disimpan menjadi guru.

Saturday, July 28, 2012

Ramadhan dan Kejahatan Setan

Ramadhan pastinya memboyong seribu anugerah dan kerahmatan dari tuhan yang menciptakan.  Bagai selalu dan selalu kita dimeriahkan dengan pelbagai acara nafsu dan pesta kegolojohan.  Tapi kebesaran dan keagungan rahmatnya diperingatkan dari mimbar-mimbar secara terkucil.  Medan untuk mengengkang kejahatan bertukar menjadi sangkar pembiakan kejahatan perut dan nafsu .  Sangat berleluasa.  Seakan-akan kita membuta, menulikan apa yang difirmankan oleh tuhan dan peringatan dari Rasul.  Bujukan fadhilat dan ancaman azab pembalasan sama sekali tidak menakutkan atau sekurang-kurangnya menyadarkan kita bahawa di bulan yang mulia ini, bulan pembebasan ini kita masih terikat menjadi budak kejahatan.


Anih ya..Sang setan durjana nan licik telah dirantai dan ditabiri tuhan tapi ummatnya masih teledor, pasrah dan tunduk pada kekuasaan nafsu yang penuh kejahatan.


Tuhan berikan kami kekuatan dan pertolongan dalam membebaskan kami dari cengkaman sijahat itu.

Tuesday, October 25, 2011

Khadaffi dikenangkan

Khadaffi (sebutan sebenarnya) akhirnya mati secara tidak wajar. Sebagai pemimpin besar, mati di bawah kolong adalah sesuatu yang sangat aib. Tapi itulah nasib atau ketentuan tuhan yang tertulis di langit tinggi. Pemimpin yang perkasa boleh jatuh di tangan rakyat yang pernah diperintah, meski peranan yang terbesar adalah laknat NATO yang tidak pernah simpati kepada dunia islam.

Rakyat Libya telah membuat pilihan untuk negara mereka. Jangan sampai menjadi persis isteri aladdin yang sanggup menukar lampu ajaibnya yang kelihatan lusuh kerana terpikat dengan lampu ahli sihir yang kelihatan bersinar dan cemerlang.

Memang benar Khadafi zalim dan kejam pada musuh politiknya, tapi apakah tidak ada sekelumit kebaikan kepada rakyat LIbya untuk menyebabkan beliau dihormati dan dilayan sebagai pesalah yang ada harga diri dan kemanusiaan.

Khadafi!. Selamat Jalan. Tuhan pasti menghitung anda dengan keadilan yang tidak dimiliki oleh rakyat LIbya.

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan ku

Ramadan beransur pergi. Entah tahun depan kita punya kesempatan meraih segala kurniaan tuhan dengan saksama, entah tidak punya kesempatan bertemu ramadan lagi. Selalu kita merasakan dirugikan olah kelemahan diri sendiri kerana tidak mampu berpartisipasi sesempurna mungkin dalam ramadan ini. apabila ia berlalu, penyesalan menyelinap dan akhirnya sirna menjelang ledakan hari raya.

Kita jenis manusia yang penuh kelemahan, perlu mencari persahabatan untuk menjana diri, memohon kekuatan dari Allah agar kita dan ramadan bersatu, menyalami dan bergetar bersama ramadan!.

Thursday, July 14, 2011

Hanya Bersih

Ketumbukan Bersih 2.0 berjaya mencapai cita-citanya, meski diraung, dijerit dan diugut dengan seribu senjata ketakutan. Hanya manusia pemberani mampu melihat jeritan serigala di rimba raya sebagai siulan margasatwa yang enggan tidur di sarang.

Derap langkah perjuangan menyusuri lorong dan gang seakan mahu bercerita, bahawa di bumi ini, padang kami tidak tenteram, tidak bersih, tidak nyaman. Padang kami penuh duri dan onak tajam. Padang kami penuh kerikil menggigit kaki. Padang kami penuh ular, kala dan jengking. Apakan daya kami hanya punya padang berbisa ini untuk bermain demokrasi bagi tanah air ini.

Bersih 2.0 hanya mahu memiliki sebuah padang demokrasi yang aman tenteram, salim dan bersih dari segala perkara yang boleh menyengat demokrasi. Buat semua. Buat semua bangsa, semua agama, semua parti, semua manusia pecinta demokrasi.

Bersih tidak pernah mencabar siapa-siapa. Bersih tidak pernah bercerita tentang bangsa atau agama sesiapa. Bersih hanya dambakan kebersihan pilhanraya untuk semua. Dan pastinya mereka yang menang dalam pilhanraya yang bersih dan suci kelak akan meraih kehormatan dan gengsi yang bermaruah. Dan rakyat akan tunduk dan patuh pada sebuah pilihan yang benar-benar adil dan berhukum.

Bersih 2.0 pasti ada Bersih 3.0 dan seterusnya selagi demokrasi tidak menjanjikan keadilan hakiki kepada setiap rakyat yang cinta damai di bumi bunda ini.

Tuesday, May 03, 2011

Teladan Osama Buat Sang Abu Izzah

Kematian Osama, Teladan Buat Sang Anwar

Setelah bertahun-tahun si jahanam Amerika menjejaki Osama, akhirnya baginda dikatakan mati digempur oleh militer Amerika. Kalau lah tragedi ini benar, maka ummah Islam kehilangan seorang pahlawan terbilang yang tiada tandingannya. Walau pun dunia Islam mempunyai ramai ulamak dan ahli abid yang wiridnya " hidupku dan matiku untuk tuhan" tapi tidak ramai yang mengotakan pengakuan ini dengan tindakan gagah berani.

Tapi sang mujahid ini telah membuktikan bahawa dirinya, nyawanya demi untuk menghancurkan musuh islam al kubra. Yakni setan besar, kata Khomeini.

Osama dan gerakannya bergerak dengan sangat rahsia dan berhati-hati. Terlalu tidak mungkin agen-agen Amerika dengan mudah dapat asses dan mengesani lokasi persembunyian Osama. Pasti mereka-mereka di sekeliling atau hampir dengan beliau yang membocorkan atau membekalkan rahsia kedudukan Osama kepada Amerika. Pastinya mereka sanggup melakukan pengkhianatan ini bukan kerana perbedaan pandangan, tapi tamak haloba dan cinta dunia. Lalu sanggup mengkhianati perjuangan demi untuk mengisi perut yang loba.

Justeru Sang Anwar Ibrahim perlu berhati-hati, sudah terlalu ramai kawan-kawan perjuanganya sanggup menikam belakang demi hanya sekupang dua habuan dunia kerana penat dalam perjuangan partisan, hidup dalam ketakutan dan tekanan. Apalagi bila ada keluarga yang merintih dan keluh kesah kononnya sengsara.

Sang Anwar berkemungkinan akan keseorangan dan akhirnya tumbang kerana tiada lagi siapa-siapa yang sanggup berdepan dengan perjuangan. Manusia berjuang adalah manusia pilihan tuhan.

Ini berlaku kepada Diponegoro, Imam Bonjol dan Imam Syamil. Kesemuanya tewas bukan di tangan kekuatan musuh, tapi tersungkur kerana helah pengkhianatan rakan seperjuangan.

Thursday, November 04, 2010

Aturan Demokrasi

Untuk sekian kalinya menyaksikan dan menelan buah pahit dari sebuah sistem yang karut, sangat memualkan dan mengecewakan. Sistem yang dicacimaki oleh Socrates ribuan tahun dahulu. Yakni demokrasi. Demokrasi adalah ruang yang memberi peluang si bodoh menjadi pemimpin kepada sebuah masyarakat. Begitu Socrates mencela demokrasi di tengah-tengah tamaddun Yunani di zaman dulu kala.
Ternyata hari ini demokrasi di tanah warisan bonda ini menyaksikan pesta kebodohan di mana-mana dengan pelbagai aplikasinya. Gelanggang yang persis rimba ini telah melahirkan beribu-ribu pemimpin bodoh, yang kerjanya membodohkan rakyat kecil, rakyat marhaen, rakyat proletar, rakyat agrarian dan rakyat terkucil.
Gelanggang yang persis rimbaraya ini juga telah melahirkan tirani-tirani, bargouis yang mencekik rakyat, kapitalis yang menghisap darah rakyat, aristokrat yang immoral, ulamak yang menjual ilmunya, rakyat yang gilakan dunia dan poya-poya serta media yang gila bahasa.
Semua kebobrokan dan keruntuhan ini lahir dari sebuah demokrasi yang dipaksakan dan tiada siapa yang berani mementang raksaksa keramat ini. Hatta sebuah gerakan islam juga memilih medan ini untuk mencapai cita-cita lohornya.
Meski padang yang penuh kerikil ini, tidak menjanjikan wasit yang adil, sama rata dan saksama, pejuang Islam melalui perlawanan ini dengan penuh kelukaan, penderitaan dan kesakitan sekian lama. Mereka tabah, mereka berjiwa besar, mereka tangguh mengharunginya selagi hayat masih ada. Apakah kekuatan itu dibekalkan Allah kepada tenteranya, kerana kepimpinan ulamak!.
Percayalah, bahawa kemenangan dalam perlawanan ini bukan segala-galanya. Kekalahan bukan bererti kesalahan. Semuanya berjalan mengikut aturan tuhan, hatta setiap denyutan jantung anda pun mengikut ketentuan tuhan.
Abdulrahman Al Aus mengatakan " Aku pernah mendengar Rasulullah SAW mengatakan ' agama ini akan tetap unggul dalam menghadapi siapa pun yang menentangnya, sehingga Islam dan pengikutnya benar-benar mendapat kemenangan'." Ungkapan ini lahir ditengah-tengah pemimpin Islamberbincang untuk menentang kuasa besar dunia, Rom!.
Apakah demokrasi yang hina ini menjanjikan kemenangan total buat pejuang Islam dalam meraih kekuasaan, tuhan akan menentukannya. Asalkan anda bernafas panjang.

Sunday, October 31, 2010

Maaf

Bila usia beranjak setengah abad ini, aku selalu merasakan bahawa kehidupan ini sangat sementara. Banyak perkara yang gagal untuk disudahi. Semuanya kelihatan tidak akan mencapai kesempurnaan. Lalu bingkisan apa yang wajar untuk aku persembahkan kepada tuhan yang menggenggam jiwa ini, di hari pembalasan nanti. Aku masih tidak punya apa-apa. Sedangkan sisa masa yang ada entah beberapa detik lagi atau kapan.

Tuhan, aku memang bersalah, aku memang naif, aku memang kalah.

Hanya pahlawan yang bisa menundukkan kuda liar dalam setiap dada manusia. Dan aku adalah salah satu manusia yang selalu ditewaskan oleh kuda berangas ini. Apa lagi makhluk yang bernama syaitan, musuh Allah tidak pernah bosan menyelinap dan mengalir dalam kujur tubuh badan manusia dengan misi kesesatan bersama.

Tanpa kekuatan dari tuhan, kita tidak bisa keluar dari kesesatan dan kegelapan syaitan ini. Pastinya solat yang tidak kusyuk itu adalah ulah syaitan yang nekad mencari teman ke neraka Allah.

Benarlah ada abid mengatakan ia memerlukan puluhan tahun untuk kusyuk dalam solat.
Marilah bersama kita pohon dengan belas kasihan dan penghambaan kepada Allah, agar kita dibenahi dengan kekuatan dan petunjuk dalam perjalanan yang semakin getir ini.

ampunkan aku Ya Allah, di atas segala kesalahan ku.

Sunday, September 26, 2010

Bersyukurlah

Adalah sesuatu yang sangat merbahaya apabila merasakan diri kita lebih suci atau kudus dari sesiapa yang kita ketemui dan sesiapa itu kelihatannya bebal, bejat akhlaknya, bermaksiat dan persis ahli mungkar. Virus kesombongan bisa menyelinap dan bersarang dalam jiwa kita. Justeru kita menjadi lupa bahawa apa saja yang mampu kita lakukan dan apa saja yang tidak mampu kita lakukan adalah kekuasaan dan kekuatan Allah semata-mata.
Kalau kita mampu solat, mampu berzikir, mampu membaca quran, mampu berdakwah hatta mampu menyedarkan orang lain, semuanya adalah kemampuan dan kekuatan Allah yang maha perkasa, maha mengetahui. Kita tidak mampu berbuat apa-apa pun. Semua itu adalah nikmat Allah yang wajib kita sedari dan syukuri.
Kalau kita terhalang atau tidak melakukan sebarang kemaksiatan dan kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, bukan bererti kita adalah manusia suci yang punya kekebalan iman yang kukuh. Tapi kekebalan itu adalah kekebalan Allah yang dianugerah kepada kita sebagai kurniaan nikmatnya. Dan kita wajib bersyukur kerana Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memilih kita untuk tidak jatuh ke lembah kehinaan itu.
Dan bersyukur itu ialah melakukan apa saja yang diperintah Allah dan tinggalkan apa saja yang dilarang Allah.