Thursday, July 14, 2011

Hanya Bersih

Ketumbukan Bersih 2.0 berjaya mencapai cita-citanya, meski diraung, dijerit dan diugut dengan seribu senjata ketakutan. Hanya manusia pemberani mampu melihat jeritan serigala di rimba raya sebagai siulan margasatwa yang enggan tidur di sarang.

Derap langkah perjuangan menyusuri lorong dan gang seakan mahu bercerita, bahawa di bumi ini, padang kami tidak tenteram, tidak bersih, tidak nyaman. Padang kami penuh duri dan onak tajam. Padang kami penuh kerikil menggigit kaki. Padang kami penuh ular, kala dan jengking. Apakan daya kami hanya punya padang berbisa ini untuk bermain demokrasi bagi tanah air ini.

Bersih 2.0 hanya mahu memiliki sebuah padang demokrasi yang aman tenteram, salim dan bersih dari segala perkara yang boleh menyengat demokrasi. Buat semua. Buat semua bangsa, semua agama, semua parti, semua manusia pecinta demokrasi.

Bersih tidak pernah mencabar siapa-siapa. Bersih tidak pernah bercerita tentang bangsa atau agama sesiapa. Bersih hanya dambakan kebersihan pilhanraya untuk semua. Dan pastinya mereka yang menang dalam pilhanraya yang bersih dan suci kelak akan meraih kehormatan dan gengsi yang bermaruah. Dan rakyat akan tunduk dan patuh pada sebuah pilihan yang benar-benar adil dan berhukum.

Bersih 2.0 pasti ada Bersih 3.0 dan seterusnya selagi demokrasi tidak menjanjikan keadilan hakiki kepada setiap rakyat yang cinta damai di bumi bunda ini.