Monday, November 11, 2013

Bala Dari Tuhan

Mungkin benar apa yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun ratusan tahun dulu, bahawa kenaikan harga barang keperluan rakyat adalah suatu bala mala petaka yang diturunkan tuhan apabila penguasa menzalimi rakyatnya sendiri.  Rakyat menderita keperitan untuk menyambung hidup di dalam sebuah negara yang serba mencekik dan memukul dengan harga mahal berleluasa.

  Apa lagi rakyat kecil, agrarian, para buruh, para penganggur dan mereka yang telanjang kaki.  Mereka yang melihat beras dan gandum seperti emas dan perak.  Mereka tidak nyaman tidur dalam malam yang sangat gulita dan menderita.  Mana bisa tidur kalau perutnya ,perut isteri dan perut anak-anaknya bergelombang kelaparan.

Setiap suapan nasi kosong sangat mahal.  Setiap nafas yang dihembus terlalu berharga dan mahal justeru semua bil-bil mendadak naik, mungkin naik lagi di atas nama pembangunan untuk rakyat.

Salah siapakah wahai marhaen.  Salah pemerintah ?.  Salah pedagang penghisap darah?.  Atau salah kamu yang selalu bersikap bodoh dan selalu dibodohkan.

Dengarlah kata dari buku M. Natsir bahawa firaun itu menjadi sangat firaun kerana rakyatnya takut untuk mengatakan tidak kepada firaun.